1. Segitiga Jengka

 

 

Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:

Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran Tok Batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin kah?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.

Sumber - https://ms.wikipedia.org/wiki/Jengka

 

 

2. Felda Teratai Jengka 21

                DSC00004

Felda Jengka 21 merupakan salah satu dari projek tanah rancangan dibawah seliaan agensi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). FELDA ditubuhkan atas usaha Perdana menteri Malaysia ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam menjadikan DEB (Dasar ekonomi Baru) sebagai sebuah kenyataan.

Jengka 21 turut dirujuk sebagai FELDA Teratai Jengka 21 dan didiami 418 keluarga (peneroka). Setiap keluarga dibahagikan kepada beberapa kawasan kediaman yang dipanggil 'blok'. Terdapat 18 blok-blok dan kerja-kerja kemasyarakatan selalunya dilakukan bersama- sama oleh warga FELDA mengikut blok masing-masing. Sepertimana warga-warga FELDA lain, penduduk-penduduk tanah rancangan di gelar peneroka dan penerokawati.

Peneroka Jengka 21 datang dari pelbagai latar belakang dan negeri-negeri berlainan. Pengambilan Peneroka/wati bermula pada tahun 1985. Peneroka/wati di ambil dari pelbagai negeri seperti Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan sebagainya. Peneroka/wati diberikan sebuah rumah setiap keluarga dan sebidang tanah berkeluasan 10 ekar untuk diusahakan.

Antara kemudahan yang terdapat di Felda Jengka21 adalah masjid, surau, sekolah kebangsaan, sekolah menengah, sekolah agama rakyat, tabika KEMAS, PASTI, rumah kakitangan Felda, dewan orang ramai, taman permainan, klinik desa, pondok jaga, gelanggang permainan, padang awam dan lain-lain.

(Sumber 1 - https://ms.wikipedia.org/wiki/Jengka_21)

(Sumber 2 – Pejabat JKKR)