Maklumat peribadi adalah maklumat yang sulit dan sensitif tentang diri kita. Keselamatannya harus dikawal dengan ketat.

Dunia Internet sering meminta kita berkongsi maklumat peribadi. Contohnya, ketika mendaftar akaun e-mel atau media sosial, atau menetapkan destinasi penghantaran dalam talian.

Maklumat peribadi kita boleh disalahgunakan seperti kecurian identiti, memproses transaksi dalam talian tanpa kebenaran, atau ancaman keselamatan terhadap anda atau orang tersayang.

Jadi, ianya amat penting bagi pengguna Internet untuk mengamalkan kawalan privasi.

  • Jangan beritahu maklumat peribadi anda seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat, atau nombor akaun bank anda kepada sesiapa kecuali kepada pihak berkuasa rasmi.
  • Tentusahkan permintaan untuk maklumat peribadi dengan menghubungi nombor telefon perkhidmatan pelanggan syarikat tersebut yang didapati daripada laman web syarikat.
  • Berhati-hati apabila anda diminta memberikan maklumat peribadi sebelum mengakses laman web yang ‘menyeronokkan’. Ia mungkin dikendalikan oleh penjenayah siber untuk mencuri maklumat bagi tujuan jenayah.
  • Jangan terlebih kongsi. Elakkan berkongsi terlalu banyak gambar anda, terutamanya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat. Jangan lupa mematikan kamera web selepas menggunakannya.
  • Kebanyakan media sosial menyediakan ciri berkongsi lokasi untuk pengguna "daftar masuk" di lokasi tertentu. Meskipun menyeronokkan, ciri ini boleh menarik perhatian pengendap untuk menjejaki lokasi anda jika digunakan terlalu kerap.
  • Urus dan kemas kini tetapan privasi anda supaya hantaran dan perkongsian anda dalam talian hanya boleh dilihat oleh orang yang dipercayai seperti keluarga dan kawan.
  • Lupuskan peranti elektronik sewajarnya. Peralatan anda mungkin masih mengandungi data dan fail peribadi. Pastikan anda padamkan semua data, buang semua akaun, dan lakukan tetapan semula kilang (factory reset) sebelum menjual semula, membuang atau memberi peralatan anda kepada orang lain. Bagi komputer, gunakan program yang menulis ganti data (overwrite) berbilang kali untuk memastikan semua data dipadamkan.

           

 

sumber : https://klikdenganbijak.my/bm/maklumat_peribadi.php